Saturday, January 10, 2015


PROLOG

Matanya tertumpu pada SMS yang berbaur curiga. Mindanya kabur, hatinya yang terkesan. Namun apa sebenarnya yang dikesankan? Mindanya cuba menidakkan, hatinya mengiyakan. Menidakkan apa? Mengiyakan apa? Keliru. Suara yang menegurnya samar-samar, seolah-olah dirinya sedang menahan nafas di dalam kolam renang. Bunyi jantungnya jelas, bunyi buih-buih kecil udara yang keluar sedikit demi sedikit dari mulutnya, hidungnya. Tahan nafas. Tahan nafas. Tahan lagi. Tak mampu. Tendang lantai kolam renang. Tubuh meluncur ke permukaan. Buka mulut luas-luas. Rebutkan udara. 

“Siapa Lily?”
“Lily mana?”
“Lily yang you hantar balik malam tadi,”
Dia mengeluh kecil. Dilunjurkan kakinya dan kepalanya terteleng sedikit ke kanan. Renungan matanya dalam, tapi tidak tajam.  “You baca SMS I ke?” Tangannya perlahan mendapatkan telefon pintar yang ditinggalkan sementara dia ke tandas restoran tadi.
“Malam tadi I pergi makan-makan dengan budak-budak office. Balik lewat, dia minta tolong I hantar balik ke rumah. Dia tinggal di taman perumahan I juga,” jelasnya ringkas, lambat-lambat. Kesimpulan cerita di sebalik SMS yang menimbulkan perang antara hati dan minda.

Menidakkan apa? Mengiyakan apa? Keliru. Hubungan Sufia dan Zaid sendiri keliru. Tiada arah yang pasti. Mereka cuba menetapkan arah tujuan hubungan itu namun masih belum jelas. Masuk bulan lepas, sudah lima kali mereka putus dan sambung semula. Bergaduh dan kemudian berbaik semula. Kali ini? Rasa ngilu dalam perut Sufia memikirkan jawapan soalan itu. Ya, mungkin ini yang terakhir.

“Ni Lily officemate baru?”
Zaid merenung mata Sufia. Bibirnya tersenyum kecil, namun bukan senyuman gembira. Sufia kenal senyuman itu. Sufia kenal sangat dengan Zaid. Setiap lengkok bibir, bahasa tubuh Zaid boleh dibacanya. Zaid itu seperti dirinya, versi lelaki. Kadang-kadang Sufia sengaja menidakkan apa yang dapat ditebaknya pada Zaid, seolah-olah dia tak tahu apa difikiran lelaki itu. Dia bencikan kebolehannya itu. Kenapa? Kerana takutkan kebenaran, atau takutkan penipuan. Sengaja lari dari yang nyata. Tapi, mengapa perlu takut? Keliru lagi.

Telefon pintar Zaid berbunyi. Sejenak dia melihat skrin telefonnya sebelum menjawab panggilan itu.

Sufia cemas. Cemas kerana dia tahu dia bersalah. Dia tahu Zaid tak gemarkan dirinya mencuri-curi lihat telefon pintarnya. Zaid tidak akan marah, namun dia amat mementingkan rasa hormat. Kalau mahu lihat, minta saja keizinannya. Mudah. Namun Sufia telah melanggar pantang larang Zaid, sekali lagi. Cemas. Namun dia cuba berlagak tenang. ‘Boleh. Aku boleh hadapi. Bukan pertama kali’ bisik hatinya. Ini bukan pertama kali mereka berpisah. Tapi tadi dia silap. Dia tahu dia tidak patut membaca SMS itu. Di waktu mereka berdua cuba untuk memperbaiki hubungan ini. Dia juga sedar Zaid sedang cuba. Dia tahu Zaid mencintainya. Dia yang sengaja menambah tegang keadaan. Dia tersilap dan dia tahu akibatnya.

I kena balik. Kakak I minta I belikan lunch. Dia malas nak masak,” suara tenang Zaid menegur menungan Sufia. Sufia ingin melarang, kerana dia yakin itu kali terakhir pertemuan mereka. Atau tidak? “Ok,” jawab Sufia pura-pura tenang, sambil memandang wajah Zaid yang sedang memasukkan telefon pintar, kotak rokok dan pemetik api ke dalam poket seluarnya, satu persatu. Sufia cuba mencari-cari jawapan di wajah Zaid, Zaid membalas pandangan Sufia dengan senyuman. Senyuman serba-salah. Senyuman putus asa. Selesai mengemas barang-barangnya, Zaid berhenti sejenak, kemudian berdiri. “You take care,” ucap Zaid antara dengar dengan tidak, tetap dengan senyuman. “I will,” balas Sufia. Zaid sempat menoleh ke arah Sufia separuh jalan ke keretanya. Sufia senyum. Sebaik sahaja susuk tubuh Zaid hilang dari pandangan, wajah Sufia menjadi panas dan air mata Sufia mula bergenang.


1: Bertahan

“Pia, kau nak perisa apa?” tanya Nura sambil membaca papan menu di belakang kaunter kedai aiskrim. Sufia tidak segera menjawab. Matanya merenung papan menu pencuci mulut restoran makanan segera itu. Vanilla, Chocolate, Oreo… Sakit. Sebak.
“Pia, cepatlah. Kau ni, berangan pulak,” marah Nura sambil menarik-narik lengan kiri Sufia. Sufia tersenyum, ‘Ye, ye. Mana ada aku berangan. Aku tengah fikir ni nak perisa apa,” bohong. “Aku nak Oreo. Kau?” Malas. “Hmmm… Aku macam biasa, nak Vanilla & Strawberry,” jawab Nura. Anak mata Sufia berpaling ke arah susunan majalah di kedai Newstand berdekatan. Matanya tajam menilai reka susun muka hadapan majalah-majalah yang dipamerkan. Ada majalah yang gambar modelnya menutupi tajuk-tajuk utama majalah, ada majalah yang menggunakan dua jenis tulisan berlainan untuk tajuk muka hadapan, menjadikan susun letak muka hadapan majalah itu serabut, seserabut fikirannya sekarang. “You can bend the rules, but you can’t break it,” terngiang-ngiang di telinga Sufia, suaranya sendiri apabila ditanyakan pendapatnya oleh pensyarahnya senirekanya tentang Principles of Design. Terkadang Sufia rindukan dirinya yang dahulu; tegas, terbuka dan ceria. Paling penting, yakin diri. Entah ke mana hilangnya semua nilai-nilai itu. Sakit lagi. 

Mereka memilih untuk duduk di bahagian belakang, paling hujung, seperti biasa. Nura dan Sufia, seperti air dan api. Tak sama, tapi serasi, mesti ada. Saling menenangkan. Saling memberi peluang. Saling memaafkan. Saling memerlukan. Apa yang Sufia rasa, Nura kongsi sama, dan sebaliknya.

"Nura, aku tak boleh lepak lama-lama ok? Ada website design kena email malam ni," kata Sufia mengingatkan Nura. “Iye tahu. Kau yang banyak berangan tadi," balas Nura, sedikit marah. Kadang-kadang geram juga dengan jadual waktu kerja Sufia yang tidak menentu. Hujung minggu pun ada deadline. Namun Nura tidak jenuh mengagumi karier Sufia sebagai pereka laman web. Pada Nura, Sufia bertuah mempunyai bakat dan kebolehan dalam seni digital, berbanding pekerjaannya sebagai seorang jurutera yang terlalu teknikal dan membosankan. "Pia, kau sedih ke ni? Tak payahlah layan perasaan kau sekarang. Aku balik sekejap je ni,” marah Nura sambil menjilat sudu aiskrimnya. Sufia tersenyum, seakan meminta maaf, “Sedihlah. Kau balik sekejap je. Kerjalah di KL ni Nura. Penat tau aku rindukan kau,” pujuk Sufia, mengambil hati. Hatinya masih sakit. Diam-diam dia berdoa agar Allah meredakan rasa sakit itu. Sedikit pun jadilah. Sufia senyum lagi. Senyuman itu seakan-akan perbuatan melekapkan kapas pada luka yang terbiar.

Nura Ismail, sahabat baik Sufia. Mereka berkenalan sewaktu menuntut di tingkatan empat, namun mula rapat setelah mereka tamat pengajian di universiti. Anak jati Kuala Lumpur, anak perempuan seorang pegawai tinggi kerajaan dan berpeluang membesar di United Kingdom dan Mesir dan kini bekerja sebagai seorang jurutera di Terengganu. Nura berjiwa bebas dan gila-gila. Penawar hati Sufia. Pahit manis mereka kongsi bersama. Salah silap saling ditegur. Merajuk, berbaik semula. Mereka gelarkan persahabatan mereka sebaga Long Distance Friendship. Namun mereka tahu hubungan itu lebih dari persahabatan. Lebih kepada keluarga. Seperti darah daging. Berbeza dari Sufia, Nura kini sedang dilamun cinta bersama Wafi, rakan sekerjanya. Sufia dapat merasakan yang mereka akan bernikah tidak lama lagi. Insya Allah, semoga penyatuan dua jiwa ini dipermudahkan Allah, doa Sufia.

Nura sendiri menentang keras kisah cinta Sufia dan Zaid. Apa pun alasan yang Sufia berikan kepadanya untuk mengelakkan rasa benci Nura terhadap Zaid semuanya gagal. Makin membara rasa benci itu setiap kali Sufia terdiam di tengah-tengah perbualan telefon mereka, menahan sebak. Makin membara rasa benci apabila dia melihatkan senyuman palsu dan mata sembap Sufia setiap kali dia pulang berhujung minggu di Kuala Lumpur. Namun Nura tidak pernah menyatakan dengan jelas rasa tidak puas hatinya terhadap Zaid sepanjang percintaan lelaki itu dengan sahabat baiknya. Dia tidak mahu menyakiti Sufia dan jauh sekali ingin menambah tekanan yang dirasakan oleh Sufia sepanjang perhubungan itu berlangsung. Dia nekad untuk menjadi tilam empuk yang menyambut Sufia setiap kali gadis itu terjatuh. Tidak dinafikan, Nura pelik mengapa Sufia berkeras inginkan Zaid yang sering sahaja menyakitinya. Sufia tetap melihat kebaikan Zaid, ‘cinta’ Zaid pada dirinya. Nura pasti Sufia juga ada silapnya, namun Nura juga percaya bahawa sebagai seorang lelaki yang mengaku dirinya mencintai gadis itu, Zaid wajib berusaha membahagiakan Sufia. Selain tekanan akibat perpisahan itu, Nura juga arif tentang tekanan yang dihadapai Sufia di tempat kerjanya. Kerja menggunung, gaji secupak. Nura simpati dan sentiasa berdoa Sufia akan segera diterima bekerja di tempat baru yang lebih baik untuknya. Serba salah juga Nura bila terfikir tentang majlis pertunangannya yang masih belum diketahui Sufia. Keluarga Nura dan Wafi telah pun bersetuju untuk mengadakan majlis pertunangan kecil-kecilan selepas Hari Raya Aidil Adha tidak lama lagi. Dia mesti menyampaikan berita itu kepada Sufia, tapi rasanya tak sampai hati menambah luka di hati Sufia yang sedang dalam kesedihan. Nura masih tercari-cari waktu yang sesuai. Mungkin ada ruang masanya nanti, fikirnya. Sementara itu, harapannya yang baik-baik sahaja untuk sahabat sejatinya itu.

“Aku belum dua tahun lagi di syarikat tu Pia,” cebik Nura, menjawab soalan sahabatnya. “Nanti tak cantiklah resume aku. Sabar tau. Tunggu aku,” Sufia mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham, “Aku tahu. Tapi janji ya kau akan cari kerja di KL?” ujar Sufia, sedikit sebak. 
Patheticlah kau ni Sufia!’ jerit hatinya. Mungkin kerana dia sunyi tanpa Nura. Kehadiran Nura sedikit-sebanyak mengurangkan kesakitan yang dihadapinya sekarang. “Aku janji. Tak ada maknanya aku nak kerja lama-lama di Terengganu. Seronok, cuma perit juga setiap kali nak balik KL,” jawab Nura. ‘Tak ada maknanya’ adalah bahasa biasa anak-anak muda sezaman Nura dan Sufia, lebih kurang bermaksud ‘semestinya tidak’.
“Zaid ada call kau?” berhati-hati Nura mengutarakan soalannya. Sufia mengalihkan pandangannya kepada aiskrim Nura, “Tak.” Jawabnya ringkas. Tepat dan ringkas. “Aku rasa dia pun sedih tu Pia. Dia pun sayang kau juga,” ujar Nura. Sufia cuba mencari kebenaran di sebalik kata-kata Nura. Fikirannya terus melayang mengingatkan peristiwa-peristiwa lepas. “Kalau dia sayang aku, kenapa dia tak datang cari aku? Di office pun, dia nampak ceria,” Sufia meremukkan hatinya sendiri. Sengaja mencari alasan untuk menambah kesedihannya. Nura menelan aiskrim yang separa cair di dalam mulutnya, “Mana kau tahu? Dia pun manusia, ada perasaan juga Pia…” Sufia tidak menafikan kenyataan Nura. Tapi Sufia cemburu dengan kehebatan Zaid menutup kesedihan itu. Memang itu salah satu bakat milik Zaid; sembunyi.

Zaid dan Sufia bekerja di syarikat yang sama; GM Media Bhd., sebuah syarikat pengiklanan terkemuka negara. Cuma Zaid di tingkat enam, dan Sufia di tingkat empat. Ngilu perut Sufia apabila mengenang kembali pertemuan pertama mereka. Zaid tak perasankan dirinya sewaktu mereka berbuka puasa bersama-sama dengan rakan-rakan sekerja lain yang tidak sempat pulang berbuka puasa di rumah hari itu. Sufia jatuh hati pandang pertama. Sufia tertarik dengan gaya Zaid. Pakaiannya bersahaja; seluar jeans dan baju lengan panjang yang dilipat lengannya. Sufia masih ingatkan wajahnya yang tegas. Sufia sukakan yang begitu, entah kenapa. Waktu itu Zaid baru sahaja berpisah dengan kekasih hatinya Yasmin. Setelah beberapa lama baru Sufia tahu yang saat itu Zaid sedang galak berSMS dengan Yasmin, besar kemungkinan ada pergaduhan kecil. Yasmin Zuhri, gadis yang sukar ditebak fikirannya oleh Zaid, yang sentiasa ada di hati Zaid. Sepanjang perkenalan Sufia dan Zaid, Sufia mendapati Yasminlah cinta sejati Zaid, bukan dirinya. Sufia tahu kebenaran itu, namun dia cuba untuk menepisnya. ‘Kalau cinta sejati, kenapa tidak-tidak juga bersatu?’ yakin hatinya setiap kali.

Selepas pertemuan berat sebelah itu, Sufia tidak segera berusaha untuk berkenalan dengan Zaid, dan perkenalan mereka bukanlah sesuatu yang dirancang. Sufia hanya menganggap Zaid sebagai seorang lagi rakan sekerja yang menarik. Namun, semuanya bermula selepas Hari Raya Aidilfitri, apabila Sufia bosan dan mula membelek-belek album hari raya kenalan-kenalan Facebook, termasuk Yusri. Tiba-tiba Sufia terpandang gambar wajah yang dikenalinya, duduk di atas bangku sambil mengunyah kuih raya. Melompat jantungnya. Tak sangka Yusri teman universiti Zaid! Dari situ juga Sufia tahu nama sebenar Zaid; Muhammad Zaid Razali. Klik. Profilnya ringkas untuk tatapan umum. Gambar profilnya waktu itu adalah dirinya dari posisi belakang, seperti sedang mendaki gunung. Add friend? Klik.

Tiba-tiba perasaan marah menyelinap masuk. Marahkan apa? Marahkan siapa? Sufia marahkan dirinya yang membiarkan Zaid berusaha sendirian, dan dirinya sendiri yang menghalang usaha Zaid untuk mereka berbaik semula. Bagaimana nak bersatu kalau tak berusaha bersama-sama? Sufia kesal. “As cliche as this sounds, Pia, kau kena sabar. Mungkin kau dan Zaid bukan jodoh. Kena kuat ok?” pujuk Nura. Sufia hanya senyum. “Jomlah tengok seluar yang kau nak beli tu,” ujar Sufia tiba-tiba, cuba untuk menukar tajuk perbualan dan cuba mengalihkan fokus fikirannya.

Friend request Sufia diterima Zaid beberapa jam selepas Sufia menekan butang itu. Seperti biasa, Sufia membelek pula profil Zaid. Zaid baru sahaja pulang dari mendaki Gunung Kinabalu bersama teman-temannya. Banyak gambar-gambar berkaitan ekspedisi mereka di wall Zaid. Sufia juga membaca beberapa status Zaid. Ada yang lucu. Sufia tergelak sendirian. Normal, fikir Sufia, dan terus keluar dari Facebook. 

Kehidupan Sufia berjalan seperti biasa sehinggalah suatu hari rakan-rakan sekerjanya mengusiknya soal percintaan. 
“Takkan Sufia tak ada boyfriend? Gilakah?” kata Amri sambil tersengih.
“Apa salahnya tak ada boyfriend? Bukannya mati pun…” balas Rania sedikit emosi, yang juga solo ketika itu.
“Serius ni Sufia, punyalah ramai lelaki single, takkan tak ada langsung yang you minat dalam company ni? Cuba beritahu I, manalah tahu I boleh tolong?” ujar Fahmi pula, yang sememangnya kuat mengusik. Semua menanti jawapan dari Sufia. Senyap.
“Ada. Tapi I tak pasti unit mana,” balas Sufia, segan. “Waaaahhh!” Riuh rendah teman-teman sekerjanya mendengarkan jawapan Sufia.
“Cuba beritahu I nama lelaki misteri ni. You tahu tak nama dia?” bersungguh benar Fahmi ingin membantu. Mungkin kasihankan Sufia yang baru sebulan dua di syarikat itu, bersifat pendiam dan sering bersendirian. Sufia diam sejenak. Perlukah diberitahu? Sufia berfikir seketika dan kemudian membuat keputusan untuk menyebut sahaja nama Zaid dan menjangkakan Fahmi tidak serius, dan kemungkinan besar Fahmi tidak mengenali lelaki yang dimaksudkannya.
“Ok. Namanya Zaid. Tapi I tak tahu dia unit apa,” jawab Sufia akhirnya.
Amri, Rania dan Fahmi terdiam sambil berkerut-kerut memikirkan siapa gerangannya Zaid yang dimaksudkan.
Fahmi mula tertarik, “Cuba you cerita rupa bentuk si Zaid ni pada I.” Sufia hanya tergelak kecil. ‘Kalau tak kenal tu sudahlah, beriya-iya sungguh!’ bisik hatinya.
“Kulit cerah, rambut kerinting, pendiam,” balas Sufia.
Fahmi mengeluh kuat, “Berpuluh-puluh orang dalam syarikat ni berkulit cerah, rambut kerinting dan pendiam Sufia sayang!” diikuti deraian ketawa Rania dan Amri. Sufia juga tergelak sama, sambil-sambil menggerakkan crop tool, cuba menghabiskan kerjanya.
“Mana you jumpa dia?” soal Amri pula. “Manalah tahu boleh kenal dari group lepak dia ke, kan?” tambahnya lagi.
Lalu Sufia menceritakan kisah buka puasanya bulan lepas.
“Ohhhhhh!” tempik Fahmi tiba-tiba. “I kenal siapa! Tapi I tak rapat dengan budak tu, dia baru, macam you. Tak apa, nanti I cari untuk you, ok Sufia?” sambungnya dengan nada teruja. Berdebar jantung Sufia. Menyesal pula rasanya. Tapi entah kenapa Sufia yakin benar Fahmi tidak akan berjaya menjejaki Zaid. Semuanya sekadar usikan semata-mata. Sufia tersenyum dan meneruskan kerjanya. 

Do you want to save “Sbanner0109.psd”?
No. Yes. Klik.
Sufia mengalihkan pandangannya ke bahagian atas, kanan skrin komputernya. 6:30 PM. Dia kemudian bangun untuk ke tingkap yang berdekatan dengan mejanya untuk melihat keadaan trafik terkini. Kenderaan kelihatan sesak, namun masih bergerak, perlahan-lahan. Cukuplah, fikirnya. Asalkan bergerak.
Sufia kembali ke mejanya untuk menutup komputer dan berkemas untuk pulang. Unitnya sudah hampir lengang. Kebanyakannya pulang tepat jam enam petang hari ini. Mata Sufia sempat mengerling ke komputer riba Fahmi yang masih hidup di mejanya. Mungkin Fahmi masih dalam mesyuarat, atau mungkin sahaja dia minum petang di kafeteria sambil menunggu reda keadaan trafik di luar. Namun belum sempat Sufia menghabiskan dialog mini dengan dirinya sendiri, pintu masuk unitnya ditolak dan keilhatan Fahmi tersenyum simpul masuk dan berjalan ke arahnya. Sufia membalas senyuman Fahmi.
“I nak balik dah ni. You lama lagi?” tanya Sufia sambil menggalas beg tangannya.
“Tunggu dulu… I ada berita baik untuk you! Jeng jeng jeng…” ujar Fahmi, senyum simpulnya masih belum reda.
Sufia hampir ketawa melihatkan gelagat lucu Fahmi, “Apa dia Fahmi. I dapat bonus lebih ke tahun ni?” layan Sufia.
“Jangan perasan dapat bonus. Belum cukup tahun ya?” usik Fahmi. Sufia ketawa kecil dan perlahan-lahan melangkah ke arah pintu keluar.
Fahmi berlari-lari anak mendapatkan Sufia, “Sufia, I dah dapat cari Zaid you,” kata Fahmi separa berbisik dan tersengih-sengih teruja.
Sufia tersentak, namun cepat-cepat menyembunyikan rasa terkejutnya. Mungkin Fahmi bergurau. “Iyalah tu Fahmi,” katanya.
“Ya Allah, tak percaya pulak, budak kecik ni!” balas Fahmi. ‘Budak kecik’ sememangnya usikan Fahmi terhadap Sufia, memandangkan Fahmi yang tinggi dan berbidang lebar, dan Sufia yang kurus dan bersaiz kecil. Sufia tertawa lucu dan berpaling, “Ok.. Mana you dapat informasi panas ni?” balas Sufia lagi, sambil tertawa dibuat-buat. Jantungnya kencang. ‘Thrillingnya!’ bisiknya dalam hati.
“Hehehe… I tahu you mesti nak tahu…” usik Fahmi lagi. “Jom jalan sama-sama dengan I ke lift. Sambil-sambil tu I cerita,” pelawanya. Sufia hanya menurut. Takut juga nak ke basement parking yang gelap seorang diri. Mujur ada Fahmi. 

Mereka bersama-sama melangkah ke dalam lif. Fahmi tersengih-sengih menekan butang LG. “Cepatlah Fahmi, I pun nak balik ni,” gesa Sufia. “Ish, gelojoh,” usik Fahmi, terus tersengih. Lantas dia bercerita tentang kisahnya bertemu Zaid. Ternyata apa yang boleh disimpulkan daripada cerita Fahmi, Zaid sememangnya tidak sedar akan kewujudan Sufia. Betul, Zaid menerima friend request Sufia di Facebook, namun Zaid hanya menganggap Sufia hanyalah satu lagi manusia yang bekerja di syarikat yang sama dengannya. Tiada tarikan yang sama. Sufia sedikit kecewa. Kekecewaan yang mungkin terlihat oleh Fahmi yang kemudiannya seakan memujuk, “Laa.. Janganlah sedih! Sekurang-kurangnya dia dah sedar kewujudan you. Sabar je. Kita tengok apa akan berlaku seterusnya. Ok? You cool je dulu,” kata Fahmi. Sufia mengukir senyuman kecil sambil mengingatkan dirinya supaya jangan diambil serius perkara ini. Banyak lagi perkara lain yang perlu diutamakan. “Ok. Apa-apa jelah. Tak harap apa-apa pun. I suka tengok cara dia aje! Ok Fahmi, thank you! I balik dulu!” kata Sufia, tersenyum dan melambai-lambaikan tangannya ke arah Fahmi sambil membuka pintu keretanya. “No problem. Tapi, jangan gelojoh!” jerit Fahmi pula dari keretanya yang terletak selang 3 buah kenderaan dari kereta Sufia. Sufia tertawa sendirian di dalam kereta. Enjin dihidupkan. Perlahan-lahan kereta Sufia bergerak keluar dari tempat letak kereta itu.